Sabtu, 9 April 2011

PERLUNYA MENJAGA HATI 



Menurut Imam Al-Ghazali, menjadi  kewajipan ke atas manusia yang waras ialah menjaga dan memperbaiki niat hatinya serta menjauhkan segala anggapan dan sangkaan buruk kepada saudaranya ketika bergaul sesama rakan. Kewajiban inilah yang dituntut oleh syariat kepada semua mukallaf supaya menjaga hati mereka untuk menjadi insan yang kamil dan sempurna dunia dan akhirat.

Hati merupakan anggota yang paling berbahaya, dan sesiapa yang mempunyai hati yang sakit dan mati, maka ia akan memberi kesan yang sangat buruk terhadap permasalahan yang sukar untuk diperbaiki. Oleh yang demikian Imam Al-Ghazali menggariskan beberapa asas sebagai panduan menjaga dan mengubati hati.

ASAS PERTAMA: Firman Allah dalam surah al-Ghafir, ayat 19 berbunyi:
Allah mengetahui segala pengkhianatan yang bermula dari mata dan apa yang tersembunyi di dada setiap hamba.”

Dalil di atas dapat difahami bahwa, jika seseorang berhasrat atau terlintas di hatinya hendak menghasut, prasangka, atau melakukan niat jahat, maka ingatlah bahawa Allah amat mengetahui setiap rahsia yang terdetik di dada hambanya. Allah menyebut dalam surah al Maidah, ayat 7:

“Sesungguhnya Allah mengetahui akan segala isi hati yang tersemat di dada hambanya.”

rentetan daripada ayat di atas, Allah memperkuatkan lagi keyakinan hamba-Nya dengan firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 51 :
“Dan Allah amat mengetahui setiap apa yang terkandung di dalam hati kamu.”

Lantaran itu beberapa kali Allah menyebut dalam al Quran dengan kalimah “Amat mengetahui segala isi hati hamba-Nya” dengan tujuan supaya setiap hamba mengetahui segala ilmu Allah dan taat kepadaNya bagi mengingati dan berhati-hati supaya tidak dilakukan perbuatan yang dilarang secara sengaja atau sebaliknya.

Allah memberikan peringatan itu kerana manusia sering melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah dengan mengikut hawa nafsu dan kehendak hati yang amat sukar untuk dihindarkan sedangkan Allah amat mengetahui zahir dan batin juga segala niat isi hati yang mengatur segala perilaku hambanya.

Berdasarkan demikian Imam Al-Ghazali telah memberi satu pesanan : "Lihatlah olehmu akan apa yang kamu mengetahui dari segala hatimu". Maksudnya renunglah segala apa yang mendatangkan kebaikan dari segala kerja hati yang terdiri dari keinginan hati, cita cita, hasrat dan tujuan. Sekiranya baik teruskanlah, andai sebaliknya hentikan dengan segera.

ASAS KEDUA : Sabda Rasulullah s.a.w. : ‘Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan tidak kepada tubuh badan kamu, dan sesungguhnya Allah tetap melihat kepada hati kamu dan segala amalan kamu yang berlandaskan keikhlasan hati.’

Di sini menunjukkan ketetapan hati yang ikhlas merupakan tempat utama yang difokuskan oleh Allah swt untuk diberi ganjaran terhadap amal hambaNya. Tetapi alangkah pelik dan hairan sekali manusia melakukan sesuatu sering kali terlupa kepada Allah tetapi yang diingat ialah untuk mendapat pujian dan sanjungan serta penghormatan sesama manusia. Inilah yang menjadi ukuran dalarn pengorbanan seharian tanpa keikhlasan yang sebenar. (Imam Abi Abdul Rahman Al-Sulma. 330 412H, ms 10)

ASAS KETIGA: Hati merupakan ketua kepada anggota manakala anggota anggota lain adalah ikutan kepada hati, jika elok isi hati maka tetaplah pendiriannya serta eloklah perilaku anggota2 lain yang semuanya mengikut kehendak hati.

Berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis yang berbunyi:
‘Sesungguhnya di dalam jasad manusia didapati segumpal darah, apabila baik maka baiklah keseluruhan badannya, dan apabila buruk maka buruklah segala keperibadiannya, adakah tidak kamu tahu sesungguhnya itulah hati.’

Berdasarkan ayat di atas dan juga hadis menunjukkan hati merupakan anggota yang. paling berharga, tempat simpanan segala kemuliaan seorang hamba, asas segala amalan lahir dan batin. Hati adalah ketua segala anggota yang merupakan panduan kepada rohani dan jiwa setiap insan.

Demikianlah peranan hati sangat besar tanggungjawabnya ke arah mengendalikan nilai diri, tatkala kejahilan mematikan hati dan rohani sekalipun badannya hidup dan bergerak di muka bumi.

Jasadnya merupakan kubur bagi hati yang telah mati. Perkara sedemikian dapat dielakkan sekiranya kita belajar dan mengetahui akan segala ilmu Allah yang, disyariatkan kepada kita. Ilmu Allah menjadi pemangkin keimanan dan penawar. Untuk menghidupkan hati yang telah mati, kita hendaklah melakukan ibadat dan berakhlak mulia sesama manusia.

Sekian, wassalam.


0 ulasan:

Catat Ulasan

apa kata mereka.(,")