Sabtu, 7 Mei 2011


Niat kita, hidup kita.


Sesungguhnya semua perbuatan dan ucapan seseorang adalah berdasarkan kepada niat. Setiap perbuatan tidak akan dianggap benar, sempurna atau diterima kecuali berdasarkan niatnya yang benar. Sabda Nabi s.a.w : 

“ Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung dengan niat .”
 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Ahmad bin Hanbal juga  pernah berkata : “ Aku menyukai setiap orang yang melakukan amalan berupa solat , puasa atau sedekah dan kebaktian apa sahaja , asalkan dia mendahulukan niat sebelum melakukannya.”

Niat sangat mempengaruhi hidup kita, dan sesungguhnya Allah akan memperlakukan kita sesuai dengan apa yang kita niatkan.Alangkah ramainya manusia yang mengalami kesengsaraan dalam mengharungi bahtera hidup ini lantaran keliru memasang niat di awal perjalanan.

Entry kali ni niatnya nak berkongsi satu kisah yang di ambil dari majalah solusi isu 27 di sebalik pesan taqwa hasil tulisan Ustaz Umar Muhammad Noor.. Pengarang mengambil kisah tersebut daripada kitab Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal  oleh Al- Hafiz Jamaluddin al- Mizzi.Kisah tersebut menceritakan kisah hidup seorang pakar hadis dan ahli fiqah abad ke-2 Hijrah di Makkah, iaitu Abu Muhammad Sufyan bin ‘Uyainah al-Hilali.

Suatu hari, seorang lelaki datang kepada Sufyan bin ‘Uyainah al-Hilali untuk menyatakan keluhan keadaan hidupnya. Ia berkata, “ wahai Abu Muhammad, aku mengeluh akan sikap isteriku . Dia memperlakukan ku dengan sikap yang sangat buruk. Seolah-olah aku adalah orang yang paling hina dan tak berharga di matanya.”

Mendengar aduan itu, Ibn ‘Uyainah tunduk diam. Sekian lama dia tak mengucapkan apa-apa kalimah pun dari bibirnya. Beberapa ketika ketika dia mengangkat kepala dan berkata , “ Apa motivasi kamu apabila kamu menikahi isterimu itu ? apakah agar kau mendapat kemuliaan kerana status keluarganya?”

Lelaki itu mengiakannya. Ibn ‘Uyainah berkata : “ Orang yang menginginkan kemuliaan, akan diberikan kehinaan .Orang yang menginginkan kekayaan akan diberikan kefakiran . Dan orang yang menginginkan kesolehan , maka Allah akan himpunkan untuknya kemuliaan dan kekayaan.”

Beliau kemudiannya bercerita : “ saya memiliki tiga orang adik-beradik, iaitu Muhammad, Imran dan Ibrahim. Muhammad anak yang paling tua , Imran paling bongsu dan aku anak pertengahan.

“ Apabila Muhammad hendak berkahwin, dia menginginkan kemuliaan. Lalu beliau mencari pasangan dari keluarga yang lebuh tinggi status sosialnya. Akhirnya, dia diperlakukan dengan sangat hina oleh isteri dan keluarga isterinya.
“ Imran menginginkan kekayaan, maka dia mencari pasangan yang berasal dari keluarga kaya. Akhirnya dia jatuh dalam kefakiran. Mereka merampas semua hartanya dan tidak meninggalkan sedikit pun untuk dirinya.”

Ibn ‘Uyainah melanjutkan : “ beberapa lama kemudian, kebetulan Ma’mar Bin Rashid datang ke negeri kami. Lalu aku meminta nasihat daripadanya sambil menceritakan kisah kedua-dua orang saudaraku itu. Beliau lalu menyampaikan kepadaku haid Yahya Bin Ja’dah : “ seorang wanita dinikahi kerana empat perkara , iaitu kerana hartanya,keturunanya,  kemuliaanya, dan kerana kecantiknnya.Maka carilah wanita yang solehah, nescaya engkau akan beruntung.” Juga hadis Aisyah : “ wanita yang paling besar keberkatannya adalah wanita yang sedikit biaya maharnya.”

“ Lalu aku mencari untuk diriku seorang wanita solehah, serta paling ringan biaya maharnya, untuk melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.Akhirnya, Allah menghimpunkan bagiku kemuliaan, kekayaan dan kesolehan.” Begitulah kisahnya.

Berkata Hasan al-Basri : Apabila perhatian seseorang hamba ditujukan kepada akhirat, maka Allah akan menjaga hajatnya dan mengayakan hatinya.Dan apabila perhatiannya tertuju kepada dunia maka Allah akan memperbnyakkan masalah dan menjadikan kefakiran di depan matanya.Ia akan bangun pagi dalam keadaan fakir, dan masuk ke  petang dalam keadaan fakir.”
(Riwayat Imam Ahmad dalam kitab az-Zuhd)




قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :إن العبد ليعمل أعمالا حسنة فتصعد الملائكة في صحف مختمة 
فتلقى بين يدي الله تعالى فيقول: ألقوا هذه الصحيفة فإنه لم يرد بما فيها وجهي


 .

0 ulasan:

Catat Ulasan

apa kata mereka.(,")