Selasa, 24 Mei 2011

Mencintai yang lain kerana Allah.




Ciri kedua orang yang merasai kemanisan iman adalah dengan mencintai seseorang atau sesuatu kerana Allah semata-mata. Persahabatan, persaudaraan, percintaan, pertemuan, perpisahan, persatuan, perjuangan , permainan atau apa-apa sahaja yang dilakukan bersama-sama orang lain hanyalah kerana Allah, bukan “ kerana-kerana” yang lain.

Segala hubungan sama ada antara anak dan ibu bapa, suami isteri, majikan dan pekerja , pemimpin dan pengikut, guru dengan murid, hanya kerana melaksanakan perintah Allah bukan semata-mata kerana fitrah (kehendak semula jadi).

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “ Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain selain naungan-Nya ( antara mereka adalah) dua orang yang saling mencintai kerana Allah..” (Riwayat al- Bukhari)

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana mencintai seseorang kerana Allah ?

Seorang anak yang mencintai ibu bapa kerana Allah akan merasakan bahawa menerusi ketaatan kepada kedua ibu bapanya dia boleh taat kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud : “ bersyukurlah kepada-Ku dan kedua ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kembalimu.” ( Surah Lukman 31: 14)

Suami isteri yang saling mencintai kerana Allah pula ialah mereka yang memenuhi perintah Allah ini : “ Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa dia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri ( daripada tanah), supaya kamu bersenag hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan- Nya antara kamu ( suami isteri) perasaan kasih sayang  dan belas kasihan . Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan – keterangan ( yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum 30 : 21)

Para pengikut yang cintakan pemimpin kerana Allah ialah mereka yang berpegang teguh kepada cinta Allah berdasarkan mafhum firman Allah ini : “ Taatilah Allah taatilah Rasul dan pemimpin dari kalangan kamu.” ( Surah an- Nisa’ 4 : 59)

Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya manjaga hubungan kasih sayang antara saudaranya atas landasan iman kepada Allah s.w.t. dan amal solah. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan melalui sabda baginda yang bermaksud : “ Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.” ( Riwayat Ahmad)

Maksudnya kita mencintai saudara seislam bukan kerana manfaat duniawi. Dan andai kita benci pun bukan kerana itu.

Kita cintakannya semata-mata atas dasar iman dan amal soleh yang dilakukan bukan kerana “ nilai-nilai komersial” . Sebab itu banyak hadis yang menyatakan, seseorang yang menziarahi saudaranya tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran selain untuk menyambung ikatan silaturahim atau untuk menyelesaikan masalah saudaranya, itu adalah lebih baik baginya daripada solat sunat.

Dalam athar disebutkan : “ tidak ada kenikmatan seorang hamba yang lebih baik setelah nikmat Islam selain daripada kenikmatan memperoleh sahabat yang soleh ; apabila lupa dia akan mengingatkan dan apabila ingat dia akan membantunya.”

Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “ Seorang Islam adalah saudara orang islam yang lain. Tidak boleh dianiaya dan tidak boleh diserahkan kepada pihak musuhnya. Sesiapa yang membantu menunaikan hajat saudaranya , maka Allah juga akan menunaikan hajatnya. Dan sesiapa yang menghilangkan beban- beban kesusahan orang Islam , maka Allah membalas pula dengan menghilangkan beban kesusahannya pada hari kiamat kelak. Dan sesiapa yang menutup cacat kesalahan orang Islam , maka Allah juga menutup cacat celanya di hari kiamat kelak.” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)




SUMBER : SOLUSI ISU NO : 30. (AGAR  KEMANISAN IMAN TIDAK TAWAR DAN HAMBAR,  PAHROL MOHAMAD JUOI)



Catat Ulasan

apa kata mereka.(,")